9 BAHAYA SIFAT SOMBONG

on Thursday, April 30, 2009

Manusia dilarang dan diharamkan dari bersifat dengan sifat sombong. Larangan ini disebabkan manusia tidak layak bersifat dengan sifat ini kerana manusia merupakan makhluk yang dicipta oleh Allah swt dengan kemampuan yang sangat terbatas. Sifat sombong sangat merbahaya kerana ia menyebabkan berbagai masalah dalam kehidupan manusia.


Antara bahaya sifat sombong ialah;

1. Orang yang sombong mendapat kemurkaan dari Allah swt.

Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman;


الكبرياءُ ردائي والعِزَّةُ إزاري فمن نازعنى واحدا منهما قذفته فى النار


Maksudnya;Sombong itu selendang aku dan kemulian itu pakaianku, sesiapa yang mengambil salah satunya daripadanya Aku campakkan ke dalam api neraka.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ


Maksudnya; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri


2. Orang yang sombong akan ditutup pintu hidayah daripada Allah swt.

Firman Allah swt;

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ


Maksudnya; Allah menutup hati-hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka, bagi mereka azab yang sangat besar.

كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ


Maksudnya;Demikianah Allah mengunci mati pintu hati orang yang sombong dan sewenang-wenang


3. Orang yang sombong mengabaikan perintah Allah subhanahu wata’ala.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا


Maksudnya;Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.


4. Orang yang Sombong menjadi penghuni neraka.

Sabda Rasulullah saw;

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ


Maksudnya;Tidak akan masuk surga siapa saja yang di dalam hatinya terdapat sedikit kesombongan)

5. Kesombongan membawa kepada kehinaan di dunia dan di akhirat.

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ


Maksudnya;Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.


Dalam kehidupan kita didunia, sifat sombong membawa bermacam-macam masalah samada dalam diri seseorang, masyarakat, organisasi, dan negara.

Seseorang akan menjadi masalah kepada orang lain apabila tidak boleh berkerja sama kerana sombong. Keluarga tidak bahagia apabila sebahagian ahli keluarga bersikap sombong mementingkan diri sendiri.

Masyarakat tidak harmoni apabila ada anggota masyarakat bersifat sombong dan takabbur menyebabkan masyarakat berpecah belah. Negara menjadi tidak makmur apabila pemimpin sombong mementingkan diri sendiri dan tidak perihatin kepada rakyat, dunia akan menjadi huru hara apabila para pemimpin sombong tidak menghormati negara lain.

Sebalik semua akan merasa bahagia dan tenang apabila manusia saling hormat menghormati, merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk dan itulah inti pati akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

PUNCA PEROSAK HATI

on Wednesday, April 29, 2009

PERGAULAN adalah perlu, tapi tidak semestinya perlu bergaul dan banyak teman. Pergaulan yang salah sebenarnya akan menimbulkan masalah. Teman-teman yang buruk lambat laun akan menghitamkan hati, melemahkan dan menghilangkan rasa nurani, akan membuat yang bersangkutan larut dalam memenuhi berbagai keinginan mereka yang negatif.

Kita sering menyaksikan orang yang hancur hidupnya dan kehidupannya gara-gara pergaulan. Biasanya output macam ini, kerana motivasi bergaulnya untuk dunia. Dan memang, kehancuran manusia lebih banyak disebabkan oleh sesama manusia. Kerana itu, kelak di akhirat, banyak yang menyesal berat kerana salah pergaulan.

Allah berfirman:

"Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata, 'Aduhai (dulu) kiranya aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur'an ketika Al-Qur'an itu telah datang kepadaku." (Al-Furqan: 27-29).

"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." (Az-Zukhruf: 67).

Inilah pergaulan yang didasari oleh kesamaan tujuan duniawi. Mereka saling mencintai dan saling membantu jika ada hasil duniawi yang diingini. Jika telah lenyap kepentingan tersebut, maka pertemanan itu akan melahirkan duka dan penyesalan, cinta berubah menjadi saling membenci dan melaknat.

Kerana itu, dalam pergaulan, berteman dan berkumpul hendaknya ukuran yang dipakai adalah kebaikan.

Lebih tinggi lagi tingkatnya dimotivasikan pertemanan itu untuk mendapatkan kecintaan dan redha Allah SWT.

Bicara Hati

on Tuesday, April 28, 2009

YAKINILAH BAHAWA ALLAH TUHAN YANG ESA… ‘La ila ha illallah’, sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah. Wahai diriku, fahamilah hanya Allah sahajalah Tuhan yang berhak ke atas semua pengabdian, hanya Dialah Tuhan tempat engkau dan semua makhluk berserah dan menggantungkan segala harapanmu. Dialah yang menentukan semua apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku, samada perkara baik atau sebaliknya. Semua makhluk, dunia dan akhirat termasuk syurga dan neraka berada di dalam genggaman Allah dan berada di bawah pentadbiranNya. Dia berkuasa mengurus, mentadbir dan mencukupkan semua keperluan dirimu. Dialah Tuhan yang mengadakan keperluanmu sebelum dirimu sendiri menyedari yang engkau memerlukannya. Dialah Tuhan yang menyediakan keperluanmu sebelum engkau sendiri meminta dan memohon kepadaNya, semuanya telah disediakan untukmu. Segala rahmat dan kebaikan adalah semata-mata dari kurniaNya. Dia berhak melakukan apa sahaja terhadap makhlukNya dan Dia tidak akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukanNya, tetapi dirimulah yang akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hari pengadilan kelak. Sedarilah, hanya Allah sahajalah tempat engkau menyerahkan nasibmu, Tuhan yang memiliki segalanya.



YAKINILAH BAHAWA ALLAH TUHAN YANG ESA… Allah Tuhan yang Maha Esa. Wahai diriku, segala sesuatu adalah kepunyaan Allah semata-mata. Langit dan bumi, dunia dan akhirat, zahir, batin dan seluruh alam ghaib kepunyaan Allah. Termasuklah dirimu sendiri juga adalah kepunyaan Allah. Seluruh syurga dan neraka semuanya adalah makhluk Allah. Mengikut sains, matahari dan planet-planet dikira sebagai satu sistem suria. Setiap satu bintang di langit membentuk satu sistem surianya sendiri. Tidakkah dapat kita merasakan kebesaran kekuasaan Allah, keagungan pemerintahanNya sebagai Tuhan yang menguasai setiap sesuatu. Mengapakah kita masih merasa gentar kepada musuh-musuh, kepada semua orang-orang kafir dan orang-orang yang zalim? Mereka semua adalah hamba Allah, mereka juga berada di dalam genggamanNya. Engkau merasa kagum dengan kekuatan ketenteraan musuh, merasa takut menghadapi kekuasaan dan kezaliman mereka. Ketahuilah, semua itu terlalu kerdil, kecil dan hina dibandingkan dengan kekuasaan Tuhanmu. Kekuasan Tuhanmu dan pentadbiranNya meliputi segalanya, Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Agung. Sedarilah, hanya Allah yang menguasai segala sesuatu, Dialah Tuhan yang maha berkuasa.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU.. Ketahuilah setiap sesuatu di dalam pemerhatian dan pengawasan Tuhanmu. Wahai diriku, ketahuilah bahawa semua perkara yang berlaku kepadamu berada di dalam pengetahuan Allah. Semuanya di dalam pemerhatian dan pengawasanNya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang engkau alami. Dia amat mengetahui segala yang menimpa dirimu. Allah mengetahui penderitaan hambaNya. Engkau ditimpa susah dan sakit. Engkau menderita dan engkau sabar di dalam menanggung penderitaanmu itu. Kesabaranmu itu tidaklah sia-sia kerana ianya dinilai tinggi oleh Tuhanmu. Sebenarnya seluruh manusia tidak akan mampu untuk menolongmu, malah dirimu sendiri pun tidak akan berupaya untuk menolongmu kecuali apa yang diizinkan oleh Allah sahaja. Hanya kepada Tuhanmu sajalah tempat untuk engkau mengadu dan memohon. Redhalah dengan ketentuanNya. Sedarilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang engkau alami dan engkau sentiasa berada di dalam pengawasanNya dan sesungguhnya engkau berada di sini hanyalah untuk diuji.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU.. Hendaklah engkau redha bahawa Allah adalah Tuhanmu dan redha juga dengan segala ketentuanNya. Wahai diriku, ketahuilah bahawa segala sesuatu itu berlaku dengan Iradat Allah. Tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku jika bukan dengan kehendak Allah. Tidak ada sesuatu yang bergerak dan tidak ada yang diam melainkan semuanya dengan kehendak Allah jua. Tidak ada sesuatu yang berlaku pada dirimu di luar pengetahuan Allah. Tidak ada satu pun yang berlaku pada dirimu itu berlaku dengan sendirinya, itu adalah kehendak Tuhanmu. Sesiapa pun tidak akan mampu untuk menolak kehendak Allah. Semua perkara berlaku dengan Kudrat dan Iradat Ilahi. Terimalah dengan hati terbuka, berusahalah dan teruslah bertawakkal kepadaNya. Redhalah dengan ketentuan Tuhan. Ketahui jugalah, Tuhan yang menimpakan ujian yang kau rasakan berat kepadamu itu adalah Tuhan yang sama yang memberi kemewahan dan rezeki kepada musuhmu, yang pada pandanganmu seorang yang ingkar. Adakah engkau redha dengan ketentuanNya? Atau adakah engkau merasakan perlu mencari Tuhan yang lain selain Dia. Pada pandangan Allah, dunia dan segala isinya ini tidaklah lebih berharga berbanding sehelai sayap nyamuk. Ketahuilah, pemberian kemewahan dunia kepada hambaNya itu bukanlah bermakna keredhaan dari Allah. Sedarilah, hanya Allah Tuhan yang esa, tidak ada Tuhan selainNya. Oleh itu redhalah Dia sebagai Tuhanmu. Sebagaimana engkau rela menerima Allah sebagai Tuhanmu maka redhalah di dalam menerima ketentuanNya.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU …. ‘Tidak ada daya dan upaya pada seluruh makhluk melainkan dengan izin dari Allah jua’. Wahai diriku, ketahuilah tidak ada yang akan terlepas dari kehendak Allah dan tidak ada yang dapat menahan ketentuanNya. Engkau harus berusaha dengan segala upayamu. Setelah itu bertawakkal dan berserahlah kepadaNya dengan kesabaran. Ketahuilah, engkau hanyalah seorang yang lemah tidak berupaya kecuali dengan izin dari Tuhanmu, engkau hanyalah seorang hamba Allah. Segala apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Sebagai seorang yang beriman, apakah engkau berpendapat bahawa jika tidak berlaku peperangan Iraq, Presiden Saddam Hussein masih hidup dan masih berkuasa? Tidak, ketentuan Allah telah ditetapkan sejak azali. Umur dan rezeki manusia telah ditentukan. Sedarilah, usaha itu perlu kerana takdirmu di masa depan belum engkau ketahui tetapi engkau wajib redha menerima keputusan setelah ianya berlaku kerana itu adalah ketentuan dari Tuhanmu.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU …. Wahai diriku, ketahuilah engkau di sini untuk diuji. Tidak ada orang terdahulu yang tidak diuji. Empat khalifah pertama meninggal dibunuh dan diracun. Empat imam mazhab semuanya mendapat siksaan hebat dari pemerintah atau dipenjarakan. Oleh itu terimalah ujian Tuhanmu kerana itulah tujuan engkau berada di sini.

KELEBIHAN LELAKI DENGAN AKALNYA, PEREMPUAN DENGAN MALUNYA

on Monday, December 15, 2008

Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.


Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur.

Apa tindakan kita sekarang?

MOU ANTARA SYAITAN DAN NAFSU

on Wednesday, December 10, 2008

Hakikat bahawa syaitan adalah musuh manusia memang telah diketahui umum. Semua orang mengetahui bahawa syaitan adalah musuh utama mereka.

Tetapi tidak ramai mengetauhi bahawa musuh paling ketat adalah di dalam diri mereka sendiri. Musuh itu ialah NAFSU. Nafsu jahat yang berada di dalam diri manusia menyamai dengan 70 syaitan.

Nafsu ada dua jenis, iaitu nafsu yang baik dan jahat. Nafsu yang baik seteru syaitan manakala nafsu jahat kawan syaitan. Oleh itu hati kita perlu dibersihkan supaya tidak dipengaruhi oleh nafsu yang jahat.

Hati sebenarnya adalah 'rumah Allah' dalam ertikata tempat kita mengingati Allah. Kenapa hati kita jarang mengingati Allah sama ada secara zikir lisan atau hati. Ini tidak lain berpunca daripada pengaruh jahat Syaitan dibantu oleh musuh dalam selimut - nafsu kita.

Lantaran perjanjian MOU antara syaitan dan nafsu untuk menjerumuskan manusia ke dalam neraka, maka kita sering diabaikan dengan perkara-perkara lain selain mengingati Allah. Syaitan telah bersumpah dari azali lagi untuk merosakkan seluruh manusia.

Syaitan yang menjadi tentera Iblis sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia. Kita tidak nampak dia tetapi syaitan nampak kita. Susah bagi kita memerangi musuh yang kita tidak nampak. Syaitan ada di mana-mana. Bilangannya juga banyak.

Bagaimana hendak mempertahankan diri dari serangan iblis yang kita tidak nampak. Walaupun kita tidak nampak syaitan, tapi kita mempunyai Allah untuk meminta perlindungan dari gangguan syaitan yang kena rejam. Syaitan takut orang yang banyak mengingat Allah.

Oleh itu, senjata ampuh untuk melawan syaitan ialah dengan cara mengingat Allah.

SENAMAN YOGA HARAM: MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

on Saturday, November 22, 2008

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam daripada melakukan senaman yoga secara sistematik kerana boleh memesongkan akidah.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga yang sistematik mengandungi tiga perkara iaitu amalan fizikal, unsur keagamaan, mentera dan pemujaan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam menjauhi dan menghentikan amalan itu kerana tujuan dan matlamat untuk mendapatkan ketenangan serta kemuncaknya konon memperoleh penyatuan diri dengan tuhan boleh merosakkan akidah muslim.

Berita Harian 22 November 2008

9 JENIS ANAK SYAITAN

on Monday, November 17, 2008

1. Zalituun

Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat.Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

2. Wathiin

Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. A'awan

Menghasut sultan/raja/pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

4. Haffaf

Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (cth: disko, kelab mlm & tempat yg ada minuman keras).

5. Murrah

Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour etc.

6. Masuud

Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yg mula dari kata-kata mulut.

7. Daasim

Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumah tangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).

8. Walahaan

Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yg lain.

9. Lakhuus

Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.